Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Saturday, March 13, 2010
0

Pada 11 Mac lepas, satu program "The Best of Asean Performing Arts" (BAPA) telah diadakan di Dewan Usmar Ismail, Jakarta  bagi mengukuhkan aktiviti kebudayaan, kesenian dan warisan bangsa Malaysia di kalangan negara anggota Asean.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli berkata program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) merupakan satu platform untuk mengetengahkan seni dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.

"Ia juga mampu meningkatkan pemahaman dan perkongsian maklumat serta kemahiran mengenai kebudayaan, kesenian dan warisan selain memudahkan pelaksanaan program dua hala di antara kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau berkata program itu, yang berkonsepkan "1Malaysia: Keharmonian Dalam Kepelbagaian Budaya", menampilkan persembahan tarian dan muzik yang diadun dengan unsur kontemporari.

"Ini bagi menunjukkan perkembangan seni dan budaya Malaysia hasil perkongsian kepelbagaian budaya masyarakat negara kita," katanya.

Sementara itu, Malaysia merupakan negara kelima yang membuat persembahan dalam projek itu, seperti yang dipersetujui oleh mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan Asean Ketiga pada Januari 2008.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim turut menghadiri program itu.

Antara artis yang  membuat persembahan pada BAPA ialah Noryn Aziz, Iqwal, artis tari Istana Budaya, Dua Space Dance Theatre dan Asthana Dance.

Sumber : BERNAMA

0 komen: