NEGARAKU TERBILANG
Tatkala aku menggagahi diri membelah kotaraya,
Aku mendongak melihat tiang-tiang seri mencecah awan,
Rasa bangga bangsa menyala-nyala di dada,
jauh sudah rupanya negaraku mengembara.
Fikiran menggugah zaman remajaku,
Zaman tiada gerbang, tiada simbol pencakar langit,
Yang ada hanya siulan burung di bendang,
Tapi disana kaya kemanusiaan,
Kaya keampunan dan kasih sayang,
Kaya tangan menghulur bantuan,
Di tengah ribuan wira tak didendang.
Di luar sempadan ada cabaran,
Dunia semakin deras bergelora,
Tidak terperangkap kite dengan kata-kata,
Yang cepat mendapat habuan luar biasa,
Yang lambat mendapat sisa-sisa,
Kita memilih sederhana daripada yang mutlak,
Pelbagai daripada yang menyendiri,
Percaya daripada mencurigai,
Bersama daripada menguasai,
Ke hadapan dengan acuan kita sendiri,
Yang diwarisi tidak berkurang,
Yang dijaga tidak susut.
Di sini di bumi ini,
Kita sulam pencakar langit dengan jernih susu kemanusiaan,
Anyamkan cita-cita Alfred Nobel dengan puisi Jalaludin Rumi
Bajai kembang kemboja keamanan pada kubur rakusnya perang,
Tiupkan serunai budaya cinta merentas sempadan,
Sambil memacak panji-panji di puncak khairuummah
Cemerlang, gemilang dan terbilang.
Oleh:
TUN ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
(Sajak ini dideklamasikan pada Pesta Puisi Patriotik Ke-5, 29 Ogos 2004 Sunken Garden, Putrajaya.)
------------
DAMAINYA NEGERIKU
Keranamu Malaysia,
Tegakkan nusa gagahkan bangsa,
Kita susun seribu langkah, menuju ke hadapan
Bersama mensesah pekat malam, menerjah gelombang
Berlari mengejar cahaya, menepati janji di hujung jalan
Walau berdepan sejuta rintangan
Sekali pun jatuh di medan perjuangan
Namun tetap meredah, mencapai wawasan
Alangkah damainya negeri ku ini
Dilimpahi rahmat, kemakmuran dikurniai
Bangsa bersatu berjiwa waja
Semangat patriotik kian membara
Dunia sudah membuka mata
Penghormatan kini menjadi nyata
Tiada lagi penindasan
Tiada lagi penghinaan
Kemerdekaan terus terpelihara
Damainya negeriku… Malaysia.
Oleh:
TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
Petikan sajak pada akhir pembentangan bajet 2004
0 komen:
Post a Comment