Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Monday, February 02, 2009
1
Pada 30 Januari 2009, suatu "Dialog Muhibbah Pemimpin Pelajar Malaysia-Indonesia Di Jakarta" telah diadakan di KL Village Kopitiam, Jakarta Pusat. Dialog yg dianjurkan oleh PKPMI-CJ ini merupakan yg julung-julung kalinya diadakan di Jakarta. Pelbagai hal yg telah dibincangkan selama 3 jam program ini berlangsung. Antaranya adalah usaha untuk menggalakkan pelajar Malaysia bergiat aktif dan memanfaatkan organisasi mahasiswa di kampus masing-masing untuk kecemerlangan akademik, sahsiah dan kematangan diri.

Dialog ini telah dirasmikan oleh Dr Junaidy Bin Abu Bakar- Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia. Turut hadir adalah isteri beliau - Dr Rohani dan Dr Tako yg merupakan pensyarah antropologi di UNHAS (menyelesaikan PhD di UKM). Pemimpin pelajar yg hadir begitu teruja memberikan penjelasan tentang organisasi masing-masing dan mengharapkan penglibatan aktif daripada pelajar Malaysia untuk masa yg akan datang. Berikut adalah laporan yg disiarkan oleh agensi berita Malaysia iaitu Bernama :



Oleh Mohd Nasir Yusoff

JAKARTA, 31 Jan (Bernama) -- Usaha kerajaan Malaysia dan Indonesia merapatkan hubungan antara rakyat mendapat dukungan penuh 5,600 mahasiswa Malaysia di negara ini dan para pemimpin mahasiswa dari lima universiti tempatan di sekitar Jakarta.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Kedutaan Besar Malaysia di sini, Dr Junaidy Abu Bakar berkata kesediaan kira-kira 50 pemimpin mahasiswa kedua-dua negara untuk berdialog dan mencari kata sepakat mengenai aktiviti bersama untuk tujuan itu membuktikan bahawa mereka sedar pentingnya hubungan akrab Malaysia-Indonesia.

"Sebagai pewaris kepimpinan negara masing-masing, dialog yang diadakan ini memberikan harapan cerah bagi kedua-dua negara untuk terus bekerjasama terutama di pentas antarabangsa dalam isu kepentingan bersama," katanya ketika merasmikan dialog itu yang pertama kali diadakan di sini hari ini.

'Dialog Muhibah Pemimpin-pemimpin Pelajar Malaysia-Indonesia di Jakarta' itu mengenal pasti beberapa aktiviti yang akan dijalankan bersama termasuk seminar pendidikan, sukan, persembahan kebudayaan, inap desa bagi pelajar Malaysia di sini pada musim cuti kuliah dan lawatan sambil belajar ke Malaysia untuk pelajar Indonesia.

"MSD akan terus mendorong mereka mengadakan kegiatan bersama termasuk projek kemasyarakatan untuk manfaat penduduk tempatan. Kita juga akan berusaha mendapatkan penganjur bagi lawatan mahasiswa Indonesia ke Malaysia," katanya.

Seramai 30 pemimpin perwakilan mahasiswa Indonesia di Jakarta dari Universitas Trisakti, Universitas Ukrida, Universitas Indonesia, Universitas Mastopo dan Universitas Islam Negeri, yang banyak menampung mahasiswa Malaysia, hadir pada dialog yang berlangsung di sebuah restoran makanan Malaysia itu.

Pemimpin mahasiswa dari Universitas Indonesia Ihza Fachriza mengakui kagum dengan kesungguhan mahasiswa Malaysia untuk turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di kampus dan menyambut baik dialog itu, yang diharapkannya dapat dilaksanakan secara berkala melibatkan lebih ramai pemimpin mahasiswa.

Ketua Badan Eksekutif Mahasiswa Fakulti Kedoktoran Universitas Trisakti P. Gusti Agung pula berkata inisiatif mahasiswa Malaysia mengadakan dialog itu sangat baik dan kehadiran mahasiswa Malaysia di kampus-kampus di Indonesia banyak membantu memperkayakan pengetahuan serta pengalaman mahasiswa tempatan.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) cawangan Jakarta, Ahmad Nabieh Abqory Rahmat pula berkata PKPMI sendiri pada setiap masa menggalakkan pelajar Malaysia di sini supaya bukan saja cemerlang belajar tetapi aktif menimba pengalaman dan berinteraksi dengan penduduk setempat.

"Ini merupakan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain, yang mahu kita menjadi duta kecil Malaysia dan pulang dengan 1,000 sahabat di Indonesia," katanya.

Pelajar kedoktoran tahun keempat dari Malaysia Noraishah Abdul Aziz, yang belajar di Universitas Indonesia pula berkata bercampur gaul dengan pelajar Indonesia menambah kematangan pelajar Malaysia kerana mereka sangat berdikari walaupun tidak menerima sebarang biasiswa dan matang dalam tindakan terutama membahaskan isu semasa.

Selain dijamu nasi lemak, teh tarik dan roti canai, para pemimpin pelajar itu juga diberikan pelbagai makalah mengenai Malaysia terutama mengenai program dan promosi pelancongan perubatan serta pendidikan.

Sumber : (www.bernama.com)



1 komen:

rantong said...

Sekadar ingat mengingatkan. Jangan lupa selalu berdoa untuk saudara kita di Palestin. Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”
Sumber: JAKIM
View Profile: Rantong