Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Thursday, September 09, 2010
0

TEMERLOH 8 Sept. - Pelajar Malaysia di Indonesia diingatkan tidak terikut-ikut dengan sentimen anti-Malaysia dengan bertindak balas terhadap provokatif melampau kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang mengapi-apikan gerakan 'Ganyang Malaysia.'

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, walaupun tindakan kumpulan itu mencabar semangat patriotik pelajar Malaysia tetapi mereka perlu menyerahkannya kepada kerajaan untuk menyelesaikannya secara diplomatik.

''Jika pelajar kita bertindak balas akibat marah dan emosional, ia boleh menyebabkan situasi yang semakin gawat kerana ia berlaku di luar kawalan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas persidangan khas Majlis Perundingan Parlimen Temerloh (MPPT) di Bukit Bendera Resort Mentakab malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr. Salehuddin Ishak.

Beliau mengulas tindakan provokatif sekumpulan rakyat Indonesia yang mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia sejak beberapa minggu lalu.

Saifuddin berkata, setakat ini tiada laporan kejadian buruk berlaku ke atas kira-kira 6,000 pelajar Malaysia sejak kempen provokasi membenci Malaysia dilancarkan Bendera.

''Wisma Putra dan kedutaan sentiasa memantau manakala pihak berkuasa negara terbabit memberikan kerjasama baik melindungi kebajikan pelajar dan rakyat Malaysia.

''Para pelajar dinasihati tidak keluar secara berkumpulan atau menyertai mana-mana perhimpunan secara terbuka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,'' katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi memantau dan menerima laporan daripada Kedutaan Malaysia di Jakarta setiap hari.

Justeru katanya, ibu bapa pelajar terbabit tidak perlu bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka kerana kerajaan mengambil langkah proaktif menanganinya.

''Namun saya yakin melalui semangat Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi akan mengukuhkan semangat ukhwah dan persaudaraan antarabangsa serumpun itu,'' katanya.

Ibu bapa dan orang ramai boleh menghubungi bilik operasi Wisma Putra di Putrajaya di talian 03-88892746 atau 03-8887 4750 dan bilik operasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62215224947 atau +62215224971.


0 komen: