Penduduk Jakarta diminta waspada gempa bumi besar
BOGOR 10 Mac — Penduduk bandar raya Jakarta, yang berjumlah kira-kira 10 juta, diingatkan supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap kemungkinan berlakunya gempa bumi yang boleh mencapai ukuran sebesar 8.5 pada skala Richter dan menyebabkan tsunami.
Pusat Penanganan Krisis (PPK) Kementerian Kesihatan Indonesia ketika memberikan peringatan itu berkata Jakarta termasuk dalam garis gempa yang terbentang dari Sinabang hingga ke Pelabuhan Ratu.
Ketua PPK, Rustam S. Pakaya yang dipetik akhbar Republika pada Selasa berkata potensi gempa itu berlaku ekoran daripada pergerakan kerak bumi di bawah laut yang berpusat di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.
“Terjadi hakisan terus-menerus di bawah permukaan laut,” katanya, yang bagaimanapun mengakui bahawa tiada pihak mana sekali pun dapat menentukan secara tepat tarikh dan waktu bila gempa bumi besar itu akan terjadi.
Berdasarkan hasil pemantauan yang diperoleh PPK, berlaku hakisan di Pelabuhan Ratu setinggi 2,050 meter dan 600-700 meter di Pangandaran di bawah permukaan laut. - Bernama
sumber : utusan malaysia, 10 mac 2009
0 komen:
Post a Comment