Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Saturday, November 07, 2009
0


Suatu pertemuan antara pemimpin pelajar Malaysia dan Indonesia telah diadakan kelmarin di Jakarta (24/10) dalam rangka untuk mengeratkan hubungan antara para pelajar kedua-dua buah negara. Pertemuan tersebut yang berlangsung selama hampir dua jam telah memberikan peluang kepada para pemimpin pelajar untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu semasa dan merancang aktiviti-aktiviti yang boleh memperkukuhkan hubungan baik antara kedua-dua belah pihak.

Yang Di Pertua PKPMI Cawangan Jakarta, Mohd Zailani Abd Shariff berkata bahawa pertemuan seperti ini sangat perlu diadakan kerana yakin bahawa hubungan yang erat akan memberikan banyak faedah kepada para pelajar. ”Kita juga mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Penuntut Malaysia (JPMI) di Indonesia untuk menjalin hubungan baik dengan para pelajar Indonesia,” tambahnya lagi yang merupakan pelajar perubatan di Universitas Trisakti.

Sementara itu, Abdullah Abbas yang merupakan Ketua Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) di Malaysia pula menasihatkan para pelajar supaya tidak terbawa-bawa dengan isu-isu yang dimainkan oleh sebahagian pihak untuk mengeruhkan hubungan baik yang telah terjalin antara dua negara tetangga ini. Abdullah yang merupakan pelajar jurusan komputer di Multimedia University, Melaka berkata, ”Kita sebaiknya melihat sesuatu isu secara objektif dan jika sebahagian media massa masih mengamalkan sikap prejudis kita dapat memberikan penjelasan yang sebenar melalui blog, website dan seumpamanya.”

Timbalan Yang Di Pertua PKPMI Pusat, Ahmad Nabieh Abqory pula menyeru supaya semua persatuan-persatuan pelajar yang ada di Malaysia dan Indonesia mengambil langkah proaktif dengan mengadakan siri pertemuan, dialog dan kegiatan bersama yang lebih kerap. ”Hasrat pemimpin tertinggi kedua-dua buah negara adalah untuk tetap memelihara hubungan akrab yang telah terjalin sekian lama. Maka kita perlu merealisasikannya atas kapasiti sebagai golongan pelajar.” Beliau juga turut berkongsi idea mngenai penubuhan Indonesian-Malaysian Students Association yang telah dirintis di Jakarta oleh para pelajar di sini.

Pengarah JPMI Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, ketika dihubungi, mengesahkan mengenai pertemuan tersebut dan berharap agar ia akan diteruskan di masa-masa yang akan datang.


0 komen: