Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Thursday, August 27, 2009
0

Artikel kali bukan sahaja merujuk kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Jakarta (PKPMI-CJ), tetapi kami juga mengajak sahabat kami dari pimpinan Kelab Umno Jakarta untuk mengambil perhatian atas apa yang diutarakan. Melalui Biro Agama dan Kerohanian PKPMI-CJ, satu garis panduan berkaitan program telah disediakan. Butir-butirnya silalah rujuk dibawah. Jika terdapat sebarang pendapat, masukan dan pertanyaan, maklumkan pada kami sama ada diruangan komen ataupun melalui emel pkpmicj@yahoo.com. Kami juga berharap agar rakan-rakan sekelian dapat menjadi pemerhati dan menegur akan segala kesilapan kami.



Biro Agama dan Kerohanian
Persatuan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia
Cawangan Jakarta (PKPMI-CJ)
Sesi 2009/ 2010

Adab dan Etika Program Berlandaskan Islam

Bismillahirrahmanirrahim


1. Pendahuluan

Islam merupakan agama yang syumul (menyeluruh) dan merangkumi segala aspek kehidupan. Ini termasuklah berkaitan adab, etika, tatatertib majlis. Segala yang dilakukan dalam kehidupan seharian, tiada satupun yang diluar konteks agama. Oleh itu, Biro Agama dan Kerohanian, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Jakarta (PKPMI-CJ), mengharapkan perhatian daripada segenap pemimpin-pemimpin pelajar yang menggalas tanggungjawab mengadakan pelbagai program untuk memberi pelbagai manfaat dan keuntungan kepada pelajar kita. Setiap program yang dijalankan hendaklah mempunyai beberapa perkara yang perlu kita tetapkan peraturan atau caranya dilaksanakan supaya program yang dijalankan bukan hanya dapat mencapai objektif malah dapat menggapai keredhaan Allah taala.

2. Garis Panduan Etika dan Adab

Berikut adalah antara beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh para pemimpin sekalian dalam melaksanakan segala aktiviti yang dilaksanakan:

2.1. Pakaian

• Pakaian setiap pelajar hendaklah menutup aurat.
Aurat bagi lelaki sesama lelaki adalah diantara pusat hingga lutut. Aurat bagi wanita muslim sesama wanita muslim juga adalah yang demikian. Bagi wanita muslim dan lelaki dan wanita bukan muslim, auratnya adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

• Pakaian hendaklah tidak ketat atau tipis sehingga boleh menampakkan bentuk tubuh

Rasullah s.a.w pernah bersabda : “Hindarilah perbuatan telanjang, kerana sesungguhnya bersamamu ada malaikat yang tidak terpisah darimu, kecuali semasa buang hajat atau berjimak.Oleh itu, hendaklah kamu malu dan menghormati mereka,iaitu para malaikat”. (HR Tarmidzi)

Aisyah ra. Mengisahkan, ketika Rasullah saw sedang berehat di rumah, tiba-tiba Asma’ binti Abu Bakar (saudara kandung Aisyah) memasuki bilik Nabi saw. Dengan memakai pakaian yang tipis(transparan).Serta-merta Rasullah saw. Memalingkan muka darinya dan bersabda, “Hai Asma’, apabila seorang wanita sudah mencecah usia akhil baligh(ditandai dengan haid yang pertama) tidak boleh bahagian tubuhnya terlihat (orang lain), kecuali bahagian ini dan ini (Rasullah saw. Mengisyaratkan pada wajah dan kedua telapak tangan beliau).”(HR Ahmad,Muslim Abu Dawud dan Tarmdizi)

• Pemakaian minyak wangi atau perfume tidak boleh terlalu kuat.

Rasullah saw bersabda: “Setiap wanita yang memakai wangian, kemudia n ia berjalan di depan kumpulan manusia agar mereka dapat mencium bau minyak wangi yang dipakainya, maka dia termasuk orang yang telah berzina.”
(HR Al-Hakim, Nasa’I, Ibnu Hibban, Khuzaimah)

• Pelajar lelaki tidak boleh memakai sutera atau emas.

Ali r.a. menyatakan, bahawa dia melihat Rasulullah saw. Mengambil sutera, lalu baginda tempatkan di sebelah kanannya. Setelah itu Nabi saw. Mengambil emas dan ditempatkan di sebelah kirinya. Kemudian baginda bersabda : “Dua benda ini haram bagi lelaki dari kalangan umatku”(HR Abu Daud dan Nasa’i)

• Tidak berhias berlebihan sehingga menimbulkan tabaruj atau menarik perhatian berlawanan jantina.

• Pakaian pelajar semasa bersukan

Pelajar Lelaki :
-memakai pakaian yang menutup aurat
-jika memakai seluar pendek hendaklah mengenakan “sarung tight” untuk menutup paha supaya tidak terlihat atau memakai seluar pendek yang paras kainnya dibawah lutut.

Pelajar perempuan:
-mengenakan pakaian yang menutup aurat, longgar dan sopan.
-memakai baju yang berlengan panjang
-memakai seluar sukan yang panjang


2.2. Penganjuran Program
2.2.1. Syarat Umum
• Tema dan perjalanan sesuatu program hendaklah sesuai dengan ajaran dan adab Islam.
• Setiap program hendaklah dibuka dengan al-Quran dan ditutup dengan al-Quran.

• Tempat duduk lelaki dan perempuan hendaklah dipisahkan supaya tidak berlaku ikhtilat(percampuran).

2.2.2. Program Bercorak Hiburan

• Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.
• Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.
• Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
• Jika program melibatkan persembahan berbentuk tarian atau nyanyian dan melibatkan pelajar lelaki dan perempuan maka persembahan tersebut hendaklah mengelakkan penglibatan pelajar perempuan dalam nyanyian atau tarian jika ia dilakukan secara terbuka (pelajar lelaki dapat melihat). Jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita, maka dibolehkan persembahan tersebut dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja dan mengghairahkan.

• Hendaklah dipastikan muzik / lagu / lirik yang tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.
• Drama/Lakonan: Boleh melibatkan wanita sekiranya perlu, tetapi wajib memperhatikan pakaian, pergaulannya, serta penampilannya di khalayak, tidak kira samaada ketika menjalani latihan mahupun ketika persembahan, bagi mengelakkan fitnah. Tema drama/lakonan harus menepati ajaran Islam. Adalah lebih baik jika tiada percampuran jantina.

• Suatu persembahan yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, menuntut ilmu dan sebagainya. Maka apabila berlaku sedemikian, ia adalah dikategorikan sebagai lagha dan sia-sia. Oleh itu, ia hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qasas ayat 55 :
“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya.."
• Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan, sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik. Islam mengharamkan menampakkan susuk tubuh dibahagian dada dan pinggul, maka lebih teruk dari itu apabila disertai dengan pergerakan yang gemalai dan membawa kepada fitnah.
• Hiburan yang diadakan dalam sesuatu program hendaklah suatu hiburan yang berbentuk kreatif dan mendidik jiwa, serta bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.

• Mengelakkan percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram secara bebas dalam sesuatu program hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi serta gurau senda yang berlebihan.

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya…”(An Nur:30)

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya…”(An-Nur:31)

Ini juga untuk mengelakkan berlakunya zina antara lelaki dan perempuan

Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah bersabda : “Atas anak Adam ada bahagiannya yang tercatat dari perbuatan zina.Ia pasti mengetahuinya, bukan hal yang mustahil iaitu dua mata dengan memandang, dua telinga dengan mendengarkan, lidah berzina dengan perkataan, zina tangan dengan membuat kekerasan,zina kaki adalah melangkah ( ke tempat yang diharamkan),sementara hati berangan-angan dan kemaluan membenarkan atau mendustai semua perbuatan zina di atas.” (HR Bukhari dan Muslim)

Rasullah saw bersabda; ”Hindarilah perbuatan zina kerana sesungguhnya di dalamnya terdapat empat hal iaitu menghilangkan keindahan wajah,memutuskan rezeki,membuat murka Yang Maha Pemurah dan menyebabkan hidup kekal di neraka.” (HR Thabrani)

2.2.3 Persembahan Artis
• Seboleh-bolehnya, artis yang dijemput ialah artis lelaki.
• Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
• Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
• Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
• Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

2.2.4 Acara Sukan
• Untuk acara sukan, pelajar lelaki tidak dibenarkan melihat pelajar perempuan melakukan aktiviti sukan mereka atau masuk ke dalam kawasan mereka ketika mereka sedang beraktiviti.
• Sila patuhi etika berpakaian ketika bersukan.

2.2.5 Tugas Penganjur
• Penganjur harus memastikan bahawa acara yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama.

2.3. Adab Pergaulan dalam Islam
• Memberi salam apabila bertemu baik di kalangan pelajar dan orang lain. Perkara ini merupakan satu saranan oleh Allah ke atas hamba-Nya melalui firman-Nya:

‘Apabila diucap dengan satu ucapan maka balas olehmu dengan ucapan yang lebih baik daripadanya atau jawab secara yang elok, sesungguhnya Allah ke atas setiap sesuatu akan diperhitungkan.’
(Surah Al-Nisa: 86)

• Berjabat tangan atau bersalaman apabila saling bertemu antara pelajar (tidak dibenarkan bersalaman lelaki dan perempuan yang tiada jalinan persaudaraan).
‘Sesungguhnya seorang muslim itu apabila bertemu saudaranya lalu bersalaman oleh kedua duanya, maka gugurlah dosa mereka sepertimana berguguran daun dari pokok yang kering ditiup angin kencang, melainkan kedua duanya diampunkan segala dosa mercka walaupun banyak seperti buih di lautan.’
(Riwayat Thibrani)

‘Ataupun kamu sentuh wanita maka tiada kernudahan air untuk kamu berwuduk maka hendaklah karnu tayammum dengan tanah yang suci.’
(Surah Al-Nisa': 43)

• Pergaulan sesama pelajar hendaklah dilakukan dengan baik serta menggembirakan saudaranya. Pelajar hendaklah menjaga hubungan baik sesama pelajar dan mengelakkan berlaku sebarang pertelingkahan atau pertengkaran terutama semasa sebarang mesyuarat dijalankan.

Berdasarkan hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Sesungguhnya amalan yang sangat dicintai Allah selepas melakukan ibadat fardhu oleh hambanya ialah mengembirakan hati saudaranya sesama Islam’
(Riwayat Baihaqi)

‘Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang mana tidak boleh
menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari qiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.’
(Riwayat Bukhari Dan Muslim, Abu Daud)

• Semua pelajar hendaklah saling bantu-membantu dalam menyertai setiap program terutama memberi kerjasama yang baik kepada pihak pengurusan program.
‘Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan sekali kaii kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yangmembawa kepada perseteruan, dan takut olehmu akan Allah. SesungguhnyaAllah akan mengenakan seksaan yang amat dasyat.’
(Surah Al-Maidah: 2)

• Pelajar hendaklah bijak mengawal emosi dan perasaan semasa berada dalam program yang dianjurkan. Contohnya mengawal perasaan marah dan bersikap sabar jika berlaku sebarang kesulitan dan perselisihan pendapat antara pelajar dalam program.
‘Dan orang-orang yang sabar menahan diri dari marah serta orang yang memberi kemaafan terhadap orang lain. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang suka membuat kebaikan.’
(Surah Ali Imran: 134)

‘Sesiapa yang dapat menahan dari kemarahan dan dia boleh menghilangkannya, di hari kiamat kelak Allah memberi keutamaan dari makhluk-makhluk lain untuk dia memilih mana-mana pintu syurga yang dia mahu.’
(Riwayat At-Tarmizi)

‘Dan sekiranya kamu bersifat sabar itulah kebaikan bagi orang-orang yang bersabar.’
(Surah Al-Nahl: 126)


3. Penutup
Demikianlah garis panduan yang telah ditetapkan untuk penganjuran program/majlis, diharapkan supaya garis panduan ini dapat dikuatkuasakan dan sebarang kelalaian daripada menepati inti daripada garis panduan tersebut akan diberikan peringatan dan tindakan. Hal ini demi menjaga supaya setiap aktiviti kita termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup ibadah kepada Allah, dan demi menjaga nama baik persatuan. Semua pemimpin, ahli PKPMI-CJ ataupun sebarang kelab/persatuan yang mahu bekerjasama dalam melaksanakan program bersama PKPMI-CJ harus meneliti garis panduan yang telah ditetapkan sebelum melaksanakan aktiviti.

Sekian, terima kasih.

0 komen: