Kedutaan Malaysia Gesa Media Indonesia Lebih Peka
JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di sini menggesa semua pihak, khususnya media massa di Indonesia, lebih peka dan memahami sensitiviti rakyat kedua-dua negara supaya pemberitaan yang dibuat tidak menyinggung perasaan kedua-dua pihak.
Kedutaan Besar Malaysia menyuarakan rasa kesal kerana kekeliruan dan tuduhan yang dibuat oleh media massa tempatan kononnya Kerajaan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali untuk promosi pelancongan Malaysia dalam satu klip video, telah dibangkitkan sebagai isu hubungan dua hala.
"Kedutaan Besar Malaysia ingin menegaskan bahawa telah terdapat kekeliruan dan salah faham serius terhadap produksi dan penayangan klip video komersial itu dan dakwaan penglibatan kerajaan Malaysia," kata Kedutaan Besar Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, klip video komersial berkenaan adalah inisiatif kreatif Discovery Networks Asia-Pacific sendiri dan tidak sekali-kali membabitkan campur tangan sebarang pihak di Malaysia.
"Tidak ada pihak di Malaysia yang mendakwa bahawa tarian Pendet adalah tarian dari Malaysia.
"Seharusnya pihak yang berkenaan di Republik Indonesia terlebih dahulu menyelidik hal ini sebelum membuat kesimpulan mengenainya," tegas kenyataan itu.
Beberapa penjelasan telah dibuat mengenai pembikinan klip video 30 saat itu, termasuk pengakuan oleh syarikat swasta berpejabat di Singapura itu yang membuatnya tanpa campur tangan kerajaan mahu pun pihak lain di Malaysia.
Namun media massa di sini seperti menutup mata terhadap hakikat dan penjelasan yang dibuat, sebaliknya terus memainkan isu itu dan melemparkan tuduhan keras, malah mengaitkannya dengan isu-isu serupa sebelum ini yang menuding bahawa Malaysia mencuri kebudayaan Indonesia. - Bernama
Sumber : Berita Harian Online
0 komen:
Post a Comment