Kongres Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) telah berlangsung selama tiga hari bermula pada hari Sabtu (15 Aug 2009) hingga Isnin (17 Aug 2009) bertempat di Hotel Park Lane, Kuningan. Kongres ini merupakan acara tahunan untuk membincangkan isu-isu yang berbangkit oleh wakil-wakil pelajar dari setiap cawangan (15 cawangan) di seluruh Indonesia.
Objektif kongres ini adalah membincangkan pindaan perlembagaan persatuan, mengemukakan usul-usul baru, mendengar masalah yang timbul dari setiap cawangan dan melantik barisan Majlis Tertinggi PKPMI Pusat bagi sesi 2009/2010. Diselitkan sekali di dalam kongres ini adalah Majlis Perpisahan bersama Duta Besar Malaysia di Indonesia, Dato’ Zainal Abidin Zain yang telah tamat tempoh perkhidmatannya di Indonesia.
Wakil-wakil PKPMI cawangan juga berpeluang bersama-sama dengan Pegawai JPA Indonesia, En. Jazman Azi Jamalludin, Pengarah MARA Indonesia, Puan Nor Uyon Shoib dan Atase Agama Kedutaan Malaysia di Indonesia, Ustaz Abdul Aziz Jusoh bagi membincangkan isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh para pelajar Malaysia di Indonesia. Selain itu, mereka juga berkesempatan bersama Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar dalam satu kursus Etiket Sosial yang mengajarkan konsep sopan santun kita semasa berhubungan dengan masyarakat.
Kongres ini berlangsung dengan lancarnya dan mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan. Semoga Majlis Tertinggi PKPMI Pusat yang baru dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya dan membawa PKPMI ke arah memartabatkan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia.
0 komen:
Post a Comment