Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Tuesday, December 23, 2008
0

Lebihan doktor menjelang 2015 tidak tepat

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican hari ini menafikan laporan bahawa Malaysia mungkin menghadapi lebihan jumlah doktor menjelang 2015.

Beliau berkata, walaupun benar unjuran menunjukkan Malaysia mungkin dapat mencapai khidmat doktor kepada penduduk pada nisbah 1:600 sebelum 2015, ini tidak bererti kita akan menghadapi lebihan jumlah doktor sebaik saja nisbah itu dicapai.

''Nisbah itu diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai tanda aras umum bagi negara-negara membangun untuk tujuan perancangan.

''Ini adalah norma dinamik yang perlu digunakan dengan bijak oleh negara-negara berasaskan corak sosioekonomi, demografi, epidemiologi, geografi dan teknologi masing-masing," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Ismail berkata, ketika Malaysia maju dan berkembang, norma ideal bagi bilangan doktor kepada penduduk perlu berganjak ke julat lebih rendah bagi menampung permintaan penduduk yang dijangka lebih tinggi bagi penjagaan perubatan yang lebih peribadi dan berkualiti.

"Kepadatan perlu juga meningkat bagi menampung pengkhususan dan separa pengkhususan amalan perubatan yang bertambah.

"Terdapat juga isu kesaksamaan dan akses perkhidmatan kesihatan terutama di Sabah, Sarawak dan sesetengah negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.

- Bernama

sumber : utusan.com.my

0 komen: