FIRMAN Allah bermaksud:
“Wahai orang yang berselimut, bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil. Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat).Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan.( Surah Al Muzammil ayat 1-6)
FIRMAN Allah bermaksud:
"Dan pada sebagian malam, lakukanlah shalat Tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu : mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkatmu ke tempat yang terpuji"
(Surah Al-Isra', ayat 79)
Beribadat dan bermunajat kepada Allah pada malam hari, di kala insan lain sudah lama nyenyak dibuai mimpi indah. Ia suatu gambaran keikhlasan kepada Allah dan seterusnya membebaskan diri dari sifat riak yang boleh membakar seluruh amalan kebajikan.
Bermunajat dengan melaksanakan tahajud pada malam hari mengecewakan syaitan yang tidak jemu menggoda dengan pelbagai bisikan dan mendodoi manusia supaya terus lena hingga ke pagi hari.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Ketika kamu tidur, maka datanglah syaitan dengan mengikat ubun-ubunmu dengan tiga ikatan. Dan apabila ia terjaga dengan menyebut nama Allah , maka terlepaslah satu ikatan, jika ia terus berwuduk maka terlepaslah ikatan kedua, kemudian apabila diikuti dengan solat Qiamullail, maka terlepaslah ikatan yang ketiga dan pada waktu pagi berada dalam keadaan segar dan giat, jika tidak berbuat demikian, maka akan kencinglah syaitan dalam kedua-dua telinganya.” (A-Misykuh)
Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita berhati-hati supaya tidak diperdayakan syaitan laknatullah, jiwa yang tergoda dengan syaitan akan timbul sifat malas untuk melaksanakan ibadat, hati menjadi keras dan liat untuk mendengar serta mendekati ilmu keagamaan.
Daripada Ibnu Mas’ud katanya,
“Sudah disebut perihal lelaki di hadapan Nabi SAW. Katanya, lelaki itu berterusan tidur hingga subuh dan tidak bangun sembahyang lalu Nabi bersabda: “Sesungguhnya lelaki itu dikencing oleh syaitan di dalam telinganya.” (Hadis riwayat Syaikhan dan an-Nasa’i)
Allah menyediakan banyak pengurniaan-Nya terhadap orang yang sanggup menukar tempat tidur dan masa istirehatnya, tilam yang empuk, bangun dalam kesejukan untuk bersuci dan terus beribadah kepada Allah , dijanjikan kedudukan yang terpuji baik di dunia mahupun akhirat.
Sabda Rasulullah SAW, daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menyahut tawaran Allah untuk bangun menunaikan qiamullail iaitu ganjarannya terlalu besar nilainya, lebih besar dan bernilai dari dunia ini dan segala isinya. Janganlah sampai ayam yang tidak berakal itu lebih pintar dan lebih baik daripada kita. Seperti nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah engkau tidur di kala ayam jantan berkokok pada waktu fajar.”
INFO9 kemuliaan solat Tahajud
1- Dia dijaga oleh Allah daripada beberapa bencana.
2- Berkat ketaatannya, akan nampak pada wajahnya.
3- Dia disukai oleh hamba Allah yang soleh dan oleh semua manusia.
4- Ucapannya mampu mengeluarkan kata-kata yang penuh hikmah.
5- Diberi cepat mengerti dan mendapat ilmu pengetahuan.
6- Dia dibangunkan dari kubur dengan wajah yang putih berseri.
7- Diringankan hisabnya.
8- Melalui titian siratul mustaqim bagaikan kilat yang menyambar.
9- Diberi buku catatan amalannya melalui tangan kanannya di hari kiamat.(Raudhatul Ulama).
Home
»
»Unlabelled
» SoLaT TaHaJuD
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komen:
Post a Comment