Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Monday, May 23, 2011
0
Alhamdulillah, pada 22 Mei 2011 telahpun berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan PKPMI-CJ Kali Ke-41. Acara yang bertempat di Dewan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia tersebut, dirasmikan oleh Datuk Paduka Dr Junaidi Abu Bakar, Pengarah Education Malaysia.

Berikut merupakan video imbasan PKPMI-CJ sesi 2010/2011 dan ucapan Ahmad Farid Asyraf Bin Ramli, Yang Dipertua PKPMI-CJ Sesi 2010/2011 pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-41.




Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi, atas limpah rahmat-Nya, dapat kita bertemu dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Jakarta (PKPMI-CJ) Kali Ke-41 pada hari ini.

Para hadirin yang dihormati,

Pertamanya, saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa PKPMI Cawangan Jakarta Sesi 2010/2011, mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran ke mesyuarat kali ini. Sebagai sebuah organisasi rasmi yang bernaung di bawah Education Malaysia, PKPMI-CJ merupakan suatu badan yang bertanggungjawab dalam menjaga dan memartabatkan kebajikan serta hak mahasiswa Malaysia di Indonesia. Oleh itu, peranan ahli PKPMI-CJ sangatlah penting dan ianya menjadi tonggak utama bagi menentukan keberhasilan persatuan.

Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Jakarta (PKPMI-CJ) Sesi 2010/2011 mengetengahkan tiga prinsip utama dalam pengurusan persatuan, iaitu Kebajikan, Ukhuwwah dan Hikmah. Ketiga-tiga prinsip merupakan batu asas bagi menjadikan PKPMI-CJ tetap relevan dikalangan mahasiswa Malaysia di Indonesia. Prinsip-prinsip tersebut juga, merupakan hasil garapan Perlembagaan PKPMI melalui Bab II, Fasal 4; yang mengetengahkan tujuan-tujuan penubuhan PKPMI ini.

Rakan-rakan pelajar yang dihormati,

Sepanjang tempoh setahun ini, PKPMI-CJ Sesi 2010/2011 telahpun menjalankan pelbagai aktiviti yang bertunjangkan beberapa objektif. Dalam menentukan pengurusan aktiviti-aktiviti PKPMI-CJ, perkara utama yang dititik beratkan adalah memastikan ianya berorientasikan objektif, bukannya berorientasikan program. Ini kerana, setiap program-program ini hanyalah wadah dalam menyampaikan maksud tujuan PKPMI-CJ.

Dalam dunia pengurusan, istilah yang disebut sebagai Management by Objectives (MBO) ataupun ‘Pengurusan melalui Objektif’ sering digunakan. Hal ini penting bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan mempunyai tujuan untuk dicapai dan bukanlah sekadar memenuhkan takwim tahunan persatuan. Kerana itulah, aktiviti demi aktiviti yang dijalankan oleh PKPMI-CJ sesi ini mensasarkan matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang melalui setiap program.

Antara program-program yang telah dijalankan oleh PKPMI-CJ sesi ini adalah Bengkel Gerak Kerja Ahli Jawatankuasa PKPMI-CJ, Peduli Palestin: Kami Bersamamu!, Foods Of Love, Majlis Berbuka Puasa Amal Bersama Anak Yatim, Pertandingan Bowling Piala Pengarah JPMI Kali Ke-2, Mini Seminar Quilling, Malaysian Festival (MaFest '10), Seminar Pengurusan Jenazah, Kejohanan Futsal Piala Dato' Duta Kali Ke -3 dan Seminar Fly High 2011.

Melalui pengamatan saya sepanjang setahun dalam PKPMI-CJ, program-program yang bersifat mencari kerehatan minda lebih mudah untuk menarik perhatian para pelajar, berbanding program-program yang bersifat mencungkil tanggungjawab akal. Perkara ini perlulah disemak kembali dalam diri setiap pelajar. Fenomena ini kerap kali disebut sebagai ideologi ‘aku-tidak-pedulisma’.

Hal yang paling ketara bagi kelompok ‘aku tidak pedulisma’ ini adalah budaya hedonisma. Hedonisma yang sepatutnya menjadi gejala golongan yang tidak berpendidikan dan rendah moral, telahpun menjalar masuk ke celah-celah golongan siswazah dan intelek. Ia adalah budaya cinta dan ketagih hiburan. Apa yang dimahukan hanyalah unsur-unsur yang membawa cuti minda, atau mungkin berakhir dengan kematian idealisma dan erti hidup. Oleh itu, saya berharap agar hal-hal ini dapat dicermati melalui kebersamaan para pelajar kepada persatuan.

Rakan-rakan pelajar yang dihormati,

Pencapaian suatu organisasi amat bergantung kepada penglibatan ahli. Organisasi bukanlah diuruskan oleh barisan Majlis Tertinggi sahaja, namun ianya memerlukan bantuan dan masukan daripada ahli. Oleh itu, PKPMI-CJ telahpun menyediakan pelbagai medium bagi para pelajar memberi komen dan masukan. Antaranya melalui blog, facebook, formspring, email dan juga melalui wakil-wakil Ahli Jawatankuasa PKPMI-CJ setiap universiti. Kesemua medium ini merupakan wadah bagi kami di kalangan pengurusan, mendapat maklum balas daripada pelajar. Diharap wadah ini dapat diteruskan oleh pengurusan sesi hadapan disamping para pelajar dapat mengoptimumkan wadah yang disediakan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi diucapkan terima kasih buat para pelajar yang hadir ke Mesyuarat Agung Tahunan PKPMI-CJ Kali Ke-41 pada hari ini. Gunakan kesempatan ini untuk anda bersuara, melahirkan pendapat, memberi masukan dan kritikan yang membina.

Bersama-sama kita menjayakan Mesyuarakat Agung Tahunan PKPMI-CJ Kali Ke-41 ini.

Sekian, terima kasih.

AHMAD FARID ASYRAF BIN RAMLI
Yang Dipertua,
Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Indonesia
Cawangan Jakarta
PKPMI-CJ Sesi 2010/2011


Melalui Mesyuarat Agung Tahunan PKPMI-CJ Kali Ke-41 tersebut juga, telahpun ditetapkan bahawa pimpinan baru PKPMI-CJ Sesi 2011/2012 adalah:

  • Yang DiPertua: Mohd Zailani Abd Shariff
  • Timbalan YDP: Nor Ubudiah Seti
  • Pengerusi Tetap: Mohd Hamdi Ibrahim
  • Timb. Pengerusi Tetap: Luqman Hakim
Tahniah dan takziah diucapkan atas amanah ini. Semoga PKPMI-CJ Sesi 2011/2012 dapat memacu dan memimpin PKPMI-CJ dengan lebih baik lagi. Dan, terima kasih buat semua ahli yang telah membantu PKPMI-CJ sepanjang sesi lepas. Mohon maaf andai ada kekurangan dipihak kami.

0 komen: