Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, berkata mereka yang berilmu dan intelektual seharusnya menjadi orang yang mencintai kebenaran yang digali dengan mengutamakan fakta yang jelas dan bukan semata-mata laungan pembohongan dan dakwaan yang tidak disokong fakta.
"Pelajar sebagai golongan berilmu perlu menolak mana-mana kepalsuan dan tidak menerima orang yang cenderung membawa berita yang tidak benar dan palsu. Peranan pelajar ialah jangan terbawa-bawa dan mudah percaya," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama 500 pelajar perubatan Malaysia di sini, kelmarin.
Mengulas lanjut kepada wartawan selepas majlis itu, beliau berkata, memang ada pelajar yang begitu mudah percaya apabila pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa akan mengambil alih pemerintahan negara pada 16 September lalu.
"Inilah masalahnya hari ini... kerana ada pelajar yang percaya apabila Anwar mendakwa akan membentuk kerajaan pada 16 September dan sudah mendapat jumlah kerusi Parlimen mencukupi walaupun tidak pernah menyokongnya dengan sebarang fakta dan data," katanya.
Khaled yang melakukan lawatan kerja tiga hari ke Jakarta, berkata peranan pelajar baik di dalam mahupun di luar negara tentunya memberi perhatian sepenuhnya kepada pembelajaran dan jangan membiarkan diri diperdayakan dengan isu-isu yang boleh menjejaskan tumpuan mereka.
"Jika mereka hendak berkongsi maklumat yang benar dengan ibu bapa di kampung halaman, itu terserah kepada mereka," katanya, yang menambah bahawa sepanjang maklumat yang diterimanya hanya sedikit pelajar Malaysia di luar negara yang terpengaruh dengan isu Anwar itu.
Beliau berkata, dalam usaha menangkis dakyah yang kental dengan kepentingan politik individu itu, adalah sangat penting bagi pemimpin kerajaan dan juga parti pemerintah untuk sentiasa dekat serta berhubungan dengan pelajar di luar negara dan mengambil berat kebajikan mereka.
Ketika menjawab soalan bagaimana kerajaan melihat dukungan dan publisiti yang diberi oleh kelompok tertentu di Indonesia kepada Anwar, yang turut menghebohkan agendanya mengambil alih pemerintahan Malaysia ke sini, Khaled berkata, semua negara perlu mempunyai niat, harapan dan doa untuk kebaikan negara jiran.
Katanya, niat baik itu tidak hanya harus wujud antara kerajaan dengan kerajaan tetapi juga antara rakyat dengan rakyat dan tidak seharusnya juga ada negara yang mahu melihat negara jirannya dalam keadaan porak peranda. Bernama
0 komen:
Post a Comment