Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Monday, June 22, 2009
0


Para pelajar Malaysia di Jakarta yang sedang menuntut di Jakarta telah mendapat satu kesempatan besar untuk beramah mesra dengan Datuk Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(PDNKK) di dalam suatu majlis yang diadakan di Restoran Padang Natrabu Sabang. Majlis ini telah berlangsung pada malam 19 jun 2009 dikelolakan oleh PKPMI Pusat, PKPMI-CJ dan KUJ. Kehadiran Datuk Ismail Sabri turut juga ditemani oleh pegawai-pegawai dari Malaysia dan pegawai-pegawai dari kedutaan besar Malaysia di Indonesia.

Majlis dimulakan dengan jamuan makan malam masakan Minang Padang. Setelah acara makan malam berakhir pengerusi majlis iaitu saudara Mohd Rizal B Abd Rahman, Presiden Kelab Umno Jakarta menjemput saudara Mohd. Zailani Bin Abd Shariff, Yang Dipertua PKPMI-CJ untuk memberi kata-kata aluan dan terima kasih atas kesudian Datuk Ismail Sabri untuk meluangkan waktu bersama-sama dengan pelajar di jakarta. Saudara Zailani menggunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan setiap wakil pelajar dari UKRIDA, TRISAKTI, Moestopo, UIN dan UI yang hadir.

Seterusnya Datuk Ismail Sabri dijemput oleh pengerusi majlis untuk memberikan ucapan. Datuk Ismail Sabri telah menekankan mengenai peranan penting pelajar Malaysia yang menjadi duta kecil bagi negara. Pelajar haruslah menjadi penyampai maklumat yang tepat bagi pihak kerajaan malaysia kepada masyarakat Indonesia yang berada disekeliling kita. Misalnya krisis Ambalat, kekerasan terhadap Manohara dan penderaan Siti Hajar memerlukan peranan daripada pelajar disini untuk menyampaikan pada rakyat Indonesia bahawa kes Manohara merupakan masalah rumah tangga yang biasa bukannya masalah yang melibatkan dua negara dan rakyat Malaysia umumnya menentang keras tindakan kejam majikan Siti Hajar yang menderanya. Datuk Ismail Sabri juga menggalakkan para pelajar perubatan untuk terlibat dalam kegiatan koperasi yang akan memberi keuntungan pada semua ahlinya. Beliau berharap kita tidak sahaja lulus menjadi seorang doktor tetapi tetap juga berjaya di dalam karier keusahawanan.

Seterusnya adalah acara pemberian cenderhati daripada saudara Zailani selaku wakil pelajar kepada Datuk Ismail Sabri. Kami amat bersyukur di atas kemurahan hati Datuk Ismail Sabri atas pemberian sumbangan beliau sebanyak Rp5 juta masing-masing kepada PKPMI dan KUJ. Semoga Allah melimpahkan lagi rezeki pada beliau. Majlis makan malam yang penuh makna ini selesai pada jam 10.30 malam.


0 komen: