Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Sunday, June 07, 2009
0

Sabtu,6 Jun 2009 - Bertempat di Ruang kuliah 402, FK Trisakti, telah berlangsung pertemuan antara ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) dan biro-biro PKPMI-CJ dari Universitas Trisakti sesi tahun 2009/2010 dengan pelajar-pelajar FK/FKG Trisakti. Seperti lawatan-lawatan PKPMI ke universitas lain sebelumnya, lawatan ini turut terfokus ke arah memperkenalkan barisan MT serta biro yang baru saja menerajui tampuk pemerintahan PKPMI-CJ.

Pertemuan yang bermula jam 4.00 petang ini dihadiri oleh YDP PKPMI-CJ, saudara Mohd Zailani Abd Shariff, ahli-ahli MT, Ketua Biro Multimedia, Ketua Biro Kebajikan dan semua ahli biro dari Universitas Trisakti. Dengan kehadiran seramai 65 orang pelajar dari FK/FKG, ternyata lawatan ini disambut baik oleh pelajar Univ.Trisakti. Setelah sesi perkenalan, para pelajar diberikan penerangan tentang tugas-tugas biro yang ditubuhkan. Hal ini memudahkan pelajar berurusan dengan PKPMI-CJ sekiranya mengalami apa-apa kesulitan. Untuk memantapkan pemahaman tentang PKPMI, saudara Zailani sendiri telah menerangkan sejarah, tujuan, objektif dan perancangan PKPMI agar mahasiswa/wi lebih komited sebagai ahli PKPMI-CJ, seterusnya dapat memberikan komitmen dalam menjayakan setiap acara yang dikelolakan oleh PKPMI.

Isu-isu dan masalah berkisar tentang KITAS, ERP dan imigresen turut dibincangkan dalam pertemuan ini. K.B. Diplomatik, saudari Zainoor ’Ain Bt Jamil memberikan input yang tidak kurang pentingnya kepada para pelajar,seperti prosedur untuk mengklaim KITAS,pembaharuan pasport dan makluman tentang kenaikan harga KITAS serta ERP. YDP dalam pada itu memberi peringatan keras agar para pelajar tidak menghilangkan KITAS mahupun dokumen penting yang lain,memandangkan proses untuk membuat kembali dokumen berharga ini amatlah rumit.

Berikutan kes-kes pukau dan penipuan yang berleluasa ketika ini,NYDP II,saudara Farid Asyraf Bin Ramli memberikan nasihat serta menyarankan pelajar untuk melapornya kepada pihak yang berwajib.Acara diteruskan dengan penerangan mengenai kad keistimewaan ahli oleh saudari Masliana Alias,pengerusi tetap PKPMI-CJ.Juruaudit 1, saudara Ahmad Nabieh Abqory Bin Rahmat kemudiannya memberikan penjelasan tentang pemberian baju t-shirt kepada pelajar sesi 2008 yang masih tergendala hingga hari ini.

Pertemuan yang berakhir pada jam 5.40 petang ini diakhiri dengan sedikit nasihat bermakna dari YDP tentang isu-isu sensitif yang menggugat hubungan Malaysia-Indonesia.Pelajar diharap menjaga tutur kata, tidak memberikan sebarang komen seperti untuk kes Manohara dan Ambalat, serta menjaga pergaulan dengan masyarakat setempat.


0 komen: