Suatu Majlis Ramah Mesra telahpun diadakan pada 4 Julai 2009, diantara mahasiswa-mahasiswa Universitas Islam Negeri Syariff Hidayatullah (Uin) dan Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Ustaz Abdul Aziz Bin Jusoh.
Acara yang diadakan selepas solat Maghrib ini dikelolakan sepenuhnya oleh siswa-siswi Uin. Antara hal yang menjadi perbincangan adalah berkaitan kebajikan dan masa depan bagi pelajar aliran agama.
Dalam hal kebajikan, Ustaz Abdul Aziz sendiri menanamkan komitmennya dalam membantu pelajar aliran agama di Jakarta khususnya. Ini terutamanya bersangkutan sumbangan zakat yang diperolehi setiap pelajar. Selain itu, beliau turut menyarankan agar pelajar lebih berusaha untuk cemerlang dalam pelajaran agar mendapat perhatian dari pihak penaja.
Pelajar juga didedahkan dengan peluang pekerjaan yang tersedia bagi mereka. Peluang pekerjaan ini lebih tertumpu kepada sektor kerajaan dalam bidang pendidikan dan pengurusan. Majlis diteruskan dengan solat isya’, makan dan sesi soal jawab.
Isu semasa yang melanda kedua buah negara, Indonesia dan Malaysia, turut mendapat perhatian pada malam tersebut. Menariknya, Ustaz Abdul Aziz memberitahu apakah maksud perkataan ambalat yang sering di uar-uarkan kini. “Ambalat sebenarnya bermaksud ambang batas laut, bukanlah suatu kepulaun ataupun tempat tinggal,” kata Ustaz Abdul Aziz.
Sesi soal jawab lebih tertumpu kepada kebajikan bagi pelajar di Uin. Ada juga pertanyaan dan cadangan untuk mengadakan forum sebagai wadah menjelaskan kepada pelajar berkaitan wujudnya pelbagai aliran-aliran yang perlu diambil perhatian.Majlis diakhiri dengan sumbangan cenderamata kepada Atase Agama.
PKPMI Jakarta mengucapkan tahniah kepada pihak urusetia atas kelancaran majlis yang diadakan. Turut diucapkan tahniah kepada Saudara Zahid yang dipilih sebagai pimpinan baru bagi menggantikan Saudara Kamal.
0 komen:
Post a Comment