Album PKPMI-CJ 09/10

Album gambar aktiviti-aktiviti yang melibatkan PKPMI-CJ

Thursday, September 10, 2009
0

Kerajaan Malaysia melahirkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak di Republik Indonesia yang sengaja mencetuskan perselisihan di antara rakyat Malaysia dan Republik Indonesia. Tuduhan daripada beberapa pihak media Indonesia serta tindakan-tindakan berkaitan seperti operasi mencari dan menghalau orang Malaysia dari Indonesia, membakar bendera Malaysia, serta demonstrasi di depan Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di Indonesia telah membangkitkan kontroversi serta tanggapan negatif rakyat kedua negara yang mungkin akan merenggangkan hubungan dua hala yang sekian lama terjalin.

Kementerian Luar Negeri meminta Kerajaan Republik Indonesia agar mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia dapat dipelihara dan memastikan tindakan agresif beberapa pihak pelampau di Indonesia ini dapat dibendung dengan segera.

Dalam hal ini, pada 9 September 2009 Y.B. Datuk Anifah Aman, Menteri Luar Negeri telah memanggil T.Y.T. Tan Sri Jen. (B) Da’i Bachtiar, Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, untuk menyatakan pendirian Malaysia berkenaan isu konflik yang telah mengakibatkan kepincangan di dalam hubungan dua hala kedua negara. T.Y.T. Duta Besar Republik Indonesia telah pun menghubungi Menteri Luar Negeri Republik Indonesia dan Ketua Polis Republik Indonesia, dan pihak Indonesia memaklumkan bahawa tindakan yang sewajarnya akan diambil untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian rakyat Malaysia di Indonesia. Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan terus mengawasi dan memantau situasi di Indonesia dan akan melaporkan sebarang kejadian .

Sehubungan dengan ini, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menubuhkan Bilik Operasi bagi orang ramai, khususnya rakyat Malaysia yang berada di Republik Indonesia, untuk melaporkan kes-kes sekiranya berlaku. Bilik-bilik Operasi tersebut boleh dihubungi melalui:

Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri, Putrajaya
Tel. : 03-88892746 / 03-88874750

Bilik Operasi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta
Tel. : +6221-5224947 / +6221-5224971


KEMENTERIAN LUAR NEGERI
PUTRAJAYA
9 September 2009


0 komen: